Asal usul Kuda
Kuda merupakan haiwan yang penting pada suatu ketika dahulu sebagai kenderaan atau pengangkutan bagi mengangkut barang perdagangan atau manusia. Ia juga adalah haiwan yang lasak dan sesuai untuk dibawa masuk di dalam medan perang pada suatu ketika dahulu. Sejak dahulu kuda adalah aset utama dalam kehidupan manusia seharian.
Hukum memakan daging kuda
Imam al-Nawawi berpendapat bahawa memakan daging tersebut tidak makruh kerana ianya halal. Ini termasuklah pendapat mazhab Syafie dan majoriti ulama seperti Abdullah bin alZubair, Fadhalah bin ‘Ubaid, Anas bin Malik, Asma’ binti Abu Bakar, Suwaid bin Ghafalah, ‘Alqamah, al-Aswad, ‘Atha’, Syuraih, Sa’id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakha’i, Hammad bin Abu Sulaiman, Ahmad, Ishaq, Abu Yusuf, Muhammad al-Syaibani, Abu Daud dan lain-lain.
Walaubagaimanapun terdapat pendapat yang menyebutkan bahawa hukum memakan daging kuda adalah makruh. Pendapat ini disandarkan kepada Ibn ‘Abbas, al-Hakam, Malik dan Abu Hanifah.
Antara hujah mereka, firman Allah SWT:
وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً
Maksudnya: “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan.” (Surah al-Nahl: 8)
Mereka berpendapat bahawa ayat di atas menunjukan bahawa Allah menjadikan haiwanhaiwan ini sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan. Dan Allah SWT tidak menyebut pun di dalam ayat tersebut manfaatnya untuk dijadikan sebagai makanan (dimakan). Oleh itu, ini menunjukan bahawa tidak ada manfaat lain bagi haiwan-haiwan tersebut melainkan apa yang telah disebut di dalam ayat ini. Selain itu, kuda diletakkan sekali bersama keldai dan baghal yang mana menunjukan mereka juga berkongsi hukum yang sama iaitu haram (dimakan).
Kesimpulannya
Ianya dapat disimpulkan bahawa daging kuda adalah halal dan tidak makruh memakannya. Ia juga dapat diperkuatkan dengan pendapat majoriti ulama termasuklah imam Nawawi. Terutamanya, apabila menyebutkan sebahagian manfaat daripada sesuatu perkara, tidaklah menafikan sebahagian manfaatnya yang lain. Oleh itu, dengan menyebut manfaat kuda sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan, tidaklah menunjukan manfaatnya itu hanya terhad kepada kedua-dua perkara itu sahaja. Akan tetapi dikhususkan dengan menyebut kedua-dua manfaa ini kerana kedua-dua manfaat itu adalah merupakan tujuannya yang terpenting. Hal ini kerana kuda kebiasaanya digunakan untuk tunggangan dan perhiasan.
Sumber rujukan: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4469-al-kafi1711-hukum-memakan-daging-kuda