Pernah dengar tentang Kopi Luwak? Halal ke kalau kita minum Kopi Luwak?
Ini yang menjadi tanda tanya kita semua.
Kopi adalah minuman yang dibuat dari biji kopi yang telah dipanggang dan dihaluskan untuk mendapatkan aroma yang semerbak. Kopi kebiasaannya dibancuh dan diminum dengan air panas bagi membangkitkan semangat di pagi hari. Namun begitu, disebabkan oleh perubahan masa dan trend di seluruh dunia, kopi telah boleh dinikmati di dalam berbagai bentuk seperti Kopi Susu, Dalgona, dan sebagainya mengikut kepada kesukaan penggemar. Hal ini telah menyumbangkan kepada pasaran kopi untuk berkembang dan memuncak saban hari.
Bagi peminat kopi, pemilihan kopi itu selalunya dipilih atas beberapa faktor dan antaranya adalah rasanya yang unik dan kompleks yang dapat memberikan nikmat kepuasan yang terbaik. Para penggemar kopi telah bersetuju Kopi Luwak memberikan rasa yang mereka ingini dalam secangkir kopi. Namun, boleh dikatakan hal yang demikian menyebabkan kopinya mencapai harga ratusan ringgit.
Ini juga disokong oleh proses penghasilan biji kopi tersebut yang diambil daripada najis Luwak iaitu sejenis musang yang tinggal di Asia Tenggara dan menjadikan buah kopi sebagai makanan seharian mereka. Keenakan kopi Luwak tiada tandingannya kerana musang ini hanya memilih buah kopi yang terbaik untuk dimakan. Oleh itu, biji kopi yang diperolehi daripada pencernaan musang ini mempunyai kualiti yang tinggi.
Namun begitu, ini telah menjadi isu di dalam kalangan peminat kopi terutamanya mereka yang Muslim. Kerana, mereka tidak menyangka kopi tersebut dihasilkan daripada proses yang tidak diduga. Oleh yang demikian, pihak Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu yang berbangkit.
Pihak Muzakarah telah memutuskan bahawa biji Kopi Luwak ini disifatkan sebagai mutannajis dan hukumnya, Harus jika dimininum dengan beberapa syarat:
- Ia mestilah dibersihkan dan disucikan daripada najis.
- Ia mestilah berada di dalam keadaan baik dimana ianya tidak berlubang, dan pecah.
- Sekiranya ia ditanam, ia mampu untuk bertumbuh sebagai pokok.
Bagi memudahkan penggemar kopi yang Muslim ini menikmati kopi yang Halal, pihak industri perlulah memainkan peranan dengan memperolehi sijil Halal JAKIM atau MAIN sebelum produk dipasarkan kepada masyarakat Islam. Hal ini, untuk menjamin produk minuman kopi yang diambil benar-benar bertepatan dengan prinsip Halalan Tayyiban.
Sumber: